Baghdad - Pemerintah Iraq buntu memikirkan apa yang sepatutnya dibuat berhubung kitab suci al-Quran yang ditulis dengan menggunakan 24 liter darah bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein, lapor sebuah akhbar semalam.
Kitab al-Quran setebal 650 muka surat itu kini disimpan di sebuah kamar berkunci di sebuah masjid yang dikenali sebagai 'Ibu Segala Peperangan' di sini. Empat menara masjid berkenaan menyerupai laras raifal AK-47 manakala empat lagi menara mirip peluru berpandu Scud.
Saddam dipercayai memulakan projek al-Quran itu sebagai tanda kesyukuran selepas anak lelakinya, Uday terselamat daripada percubaan untuk membunuhnya.
Ia ditulis oleh seorang ahli kaligrafi, Abbas Shakir Joody al-Baghdaddi yang dilantik oleh Saddam.
Kitab al-Quran itu ditulis dengan menggunakan darah yang didermakan oleh Saddam selama tiga tahun.
Sementara itu, Presiden Majlis Pentadbiran Iraq mahu semua barang yang berkaitan dengan Saddam termasuk kitab suci tersebut dimusnahkan.
Namun, Ali al-Moussawi yang merupakan jurucakap Perdana Menteri, Nouri al-Maliki berkata, al-Quran itu perlu disimpan bagi mengingatkan rakyat mengenai kekejaman Saddam.
Saddam yang memerintah dari tahun 1979 hingga 2003, mati dihukum gantung selepas dia ditangkap askar-askar Amerika Syarikat (AS) yang menceroboh Iraq. Saddam dihukum mati selepas didapati bersalah melakukan jenayah kemanusiaan.- Agensi
Sumber : Kosmo