Remaja berkenaan, Safura Zakaria, 19, secara tidak sengaja merakamkan imej pelik dan ganjil di rumah neneknya di Kampung Pengkalan Batu, di sini Jumaat lalu.
IMEJ seolah-olah lembaga hitam tanpa muka sedang merenung dirakamkan secara tidak sengaja oleh Safura
Menurutnya, semasa merakamkan gambar tersebut dia langsung tidak menyedari kehadiran lembaga seperti seorang wanita tanpa wajah berpakaian serba hitam itu kerana terus keluar bersiar-siar ke bandar Mersing.
"Apabila pulang semula ke rumah kira-kira pukul 11 malam, saya membuka telefon bimbit untuk melihat kembali gambar tersebut dan ternyata imej di dalamnya mengejutkan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Safura berkata, dia kemudian memberitahu kejadian aneh tersebut kepada neneknya, Salamah Arshad, 70, sebelum mereka cuba merakam kembali gambar dengan kedudukan sama dengan menjadikan anak saudara lelaki berusia tujuh tahun sebagai objek seperti yang terdapat gambar berkenaan.
Namun, katanya, rakaman dengan kedudukan yang sama ternyata tidak membawa hasil seperti gambar terdahulu kerana rupa paras anak saudaranya itu jelas kelihatan tidak seperti lembaga tersebut.
"Gambar dalam telefon bimbit itu, seolah-olah satu lembaga tidak berwajah serta tanpa kaki sedang melihat ke arah saya yang menghadap cermin muka.
"Sebaik sahaja berita ini tersebar, ramai saudara-mara dan rakan-rakan yang berkunjung melihat rakaman tersebut dan memindahkannya ke telefon bimbit mereka," katanya.
Sementara itu, neneknya, Salamah memberitahu, kejadian aneh tersebut adalah yang pertama berlaku di rumah tersebut yang telah didiami sejak 20 tahun lalu.
"Entahlah, nenek tidak tahu teknologi telefon sekarang, tetapi apa yang pasti gambar tersebut seolah-olah satu lembaga aneh sedang berdiri di belakang Safura," katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Mersing, Zakaria Tahir ketika diminta mengulas berhubung gambar tersebut berkata:
"Allah menjadikan malaikat, jin dan syaitan sebagai makhluk yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar manusia, namun ia boleh menyerupai atau menjelma dengan pelbagai bentuk.
"Apa yang penting sebagai manusia yang beriman kepada Allah S.W.T, kita tidak perlu taksub dan takut dengan kejadian aneh yang belum tentu kesahihannya itu sehingga boleh menjejaskan akidah," katanya.